KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih
sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.
Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu
selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat
kenegaraan dan patriotik.
KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu
kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau
peringkat awal pendidikan mereka.
Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta
pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya
sejajar dengan perubahan umur.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata,
KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (KBSR).
Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul
yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih
untuk KSSR.
Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah
khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi
lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa
tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam
subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.
Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji
rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.
Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran
manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran
terpilih.
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas
Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.
Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada
penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian,
fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu
kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi,
kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.
Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam
tahun seluruh negara.
Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan
sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah
rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M.
KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan
mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan
menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.
Dipetik dari sumber :
No comments:
Post a Comment